Selasa, 5 Mei 2020

KELEBIHAN BULAN RAMADAN

KELEBIHAN BULAN RAMADAN

ALLAH SWT Jadikan Bulan Ramadan Banyak Kelebihan Berbanding Bulan- bulan Yang Lain

SESUNGGUHNYA Allah SWT  mengkhususkan bulan Ramadan di antara bulan-bulan lainnya dengan keutamaan yang agung dan keistimewaan yang banyak apabila umat Islam menunaikan ibadah puasa dengan seikhlas yang mungkin  pada bulan Ramadan.

Terdaat 8 keistimewaan bulan Ramadan adalah seperti berikut :

Pertama : Diturunkannya Al-Qur’an di dalam bulan Ramadan sebagai petunjuk bagi manusia dari kegelapan menuju cahaya. Dengan Al-Quran ini, Allah memperlihatkan kepada mereka kebenaran (al-haq) dari kebatilan.

Al-Quran yang di dalamnya terkandung kebaikan dan kebahagiaan kemenangan bagi umat manusia, serta keselamatan di dunia dan di akhirat.

Kedua : Diwajibkannya berpuasa pada  bulan tersebut kepada umat Muhammad SAW , ketika Allah SWT  memerintahkan hal tersebut dalam firman-Nya :

” Kerana itu, barangsiapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu”

(Suarh  Al-Baqarah, ayat  185).

Tidak dapat disangkal lagi bahawa bulan Ramadhan mempunyai kemuliaan dan kelebihannya tersendiri.

Ketiga : Ramadan adalah bulan  penghapus dosa Berpuasa pada bulan Ramadan dapat menghapus dosa-dosa yang pernah kita lakukan sama ada yang disedari atau tidak disedari asalkan dilaksanakan dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh berdasarkan iman dan mengharapkan pahala dari Allah SWT.  

Rasulullah SAW bersabda :

‘’Barang siapa yang berpuasa Ramadan kerana iman dan mengharapkan pahala  dari Allah SWT, nescaya diampuni dosa-dosanya telah lalu”.

(Muttafaqun alaih).

Keempat : Di bukanya pintu-pintu syurga pada  bulan Ramadan. Hal ini kerana banyaknya amal soleh yang disyariatkan pada  bulan tersebut yang menyebabkan masuknya seseorang ke dalam syurga ditutup pintu-pintu neraka pada  bulan berkenaan .

Kelima : Umat Islam pada bulan yang mulia ini  dituntut untuk mengerjakan Solat Sunat  Terawih. Ia ditunaikan  selepas umat Islam mengerjakan solat fardhu Isyak dan waktunya berkekalan sehingga akhir malam. Pada bulan- bulan yang lain tidak ada Solat Sunat Terawih

Keenam : Dalam bulan  Ramadan, setiap amal kebaikan diberikan ganjaran berlipat ganda.

Ketujuh : Syaitan-syaitan dibelenggu pada  bulan Ramadan. Syaitan tidak mampu untuk menggoda (menyesatkan) manusia, menjerumuskan manusia dalam kemaksiatan sebagaimana yang syaitan lakukan selain dalam bulan Ramadan.

Kelapan : Di antara kelebihan besar bulan Ramadan ialah di dalamnya terdapat Lalilatul-Qadar atau malam al-Qadar (kemuliaan) yang dinyatakan keistimewaannya secara khusus oleh Allah dalam Surah al-Qadr ;

 “Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al Qur’an) pada malam al-Qadar (kemuliaan). Dan tahukah kamu apakah malam al-Qadar itu? Malam al-Qadar itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar”.

(Surah al-Qadr ayat 1-5)

Orang yang tahu menilainya sudah pasti tidak akan mensia-siakan peluang untuk merebut kelebihan-kelebihan tersebut. Bahkan RasulullahSAW sendiri pernah menegaskan;

 “Sekiranya manusia benar-benar menyedari kebaikan-kebaikan yang ada pada bulan Ramadan ini, pastinya mereka akan mengharapkan supaya sepanjang tahun adalah Ramadan”.

Oleh itu marilah sama-sama kita hayati Ramadan al Mubarak. Kejarlah fadilat yang besar untuk meraih keredhaan Allah SWT dan mendapat keampunan daripadaNya

Wassalam

# Kelebihan Bulan Ramadan #
06052020

Tiada ulasan:

Catat Ulasan