Jumaat, 8 Mei 2020

BERAMAL DENGAN IKHLAS

Beramal Dengan Ikhlas Di Bulan Ramadan

Mendirikan Ramadan Dengan Penuh Iman Allah Akan Hapuskan Dosa- Dosa Yang Lalu

BULAN Ramadhan adalah bulan yang mulia buat umat Islam. Ini kerana, padanya terdapat banyak kelebihan-kelebihan dan juga tawaran-tawaran yang istimewa daripada Allah SWT kepada hamba-Nya.

Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang mendirikan Ramadan dengan penuh keimanan dan penuh pengharapan, akan diampunkan baginya segala dosanya yang telah lalu”. 

(Hadis Riwayat al- Bukhari, no. Hadis 36 dan 1870)

Hadis di atas bermaksud agar kita bersungguh-sungguh dalam menghidupkan atau membangunkan malam-malam di bulan Ramadan. Ini kerana, ganjarannya amat besar bagi orang yang membangunkan malam-malam di bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan kepada Allah SWT iaitu dihapuskan segala dosa-dosa yang pernah dilakukan.

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata ketika memberi makna “Barangsiapa yang menghidupkan Ramadan” adalah kita menghidupkan malam-malamnya (Ramadan) dengan bersolat. Selain itu, beliau menyebut bahawa Imam al-Nawawi memberi maksud menghidupkan Ramadan adalah dengan solat Tarawih.

 [Lihat: Fath al-Bari, 4/251] 

Mendirikan atau menghidupkan malam Ramadan bukanlah satu perkara yang wajib tetapi ia merupakan sunnah yang dituntut.

Oleh itu  solat tarawih merupakan satu juzuk daripada menghidupkan atau mendirikan malam Ramadan. Selain itu, kita juga dituntut agar memperbanyakkan ibadah-ibadah yang lain seperti solat-solat sunat, berzikir, berselawat, membaca al-Quran, beristighfar dan lain-lain lagi. Ini semua termasuk di dalam menghidupkan dan mendirikan malam-malam Ramadan.

Oleh itu hidupkan malam Ramadan dengan amal ibadah kepada Allah SWT hukumnya adalah sunnah muakkadah (ditekankan). 

Selain itu.Rasulullah SAW bersungguh-sungguh dalam beribadat apabila tibanya Ramadan. Ini juga diamalkan oleh para Khulafa’ al-Rasyidin dan juga para sahabat yang lain. 

Untuk itu, sebaiknya seorang muslim itu sentiasa memperbanyakkan amal ibadah pada bulan Ramadan yang penuh dengan kelebihan ini, terutamanya pada sepuluh malam yang terakhir kerana di dalamnya terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan iaitu Malam al Qadar.

Akhirnya, semoga Allah SWT menerima amalan-amalan kita dan seterusnya memberi kita kesempatan untuk bertemu dengan malam al-Qadar. Amin.

Sekian, Wassalam.
09052020

# Beramal Dengan Ikhlas Di Bulan Ramadan #

Tiada ulasan:

Catat Ulasan