Thursday, March 29, 2012

GAMBARAN PELUKIS


Assalamualaikum dan Selamat Pagi..

Alhamdulillah syukur ke hadrat ilahi kerana masih di beri kesempatan untuk merasai nikmat udara segar di pagi hari. Syukur kepada mu Ya ALLAH , Engkau limpahkan nikmat yang melimpah ruah kepada kami untuk meneruskan lagi perjuangan yang masih belum selesai. 

Gambaran Pelukis

Gambar di atas merupakan gambaran pelukis untuk cadangan  " KOMPLEKS TARBIYYAH MASJID TAJUL ARIFFIN ". Ianya akan di bina di atas tanah seluas 660 depe mukim paya mengkuang daerah perupok bachok kelantan. Penubuhan Kompleks ini bermula dari cadanagan UST. SHARIFUDDIN NOH . Beliau merupakan seorang ustad yang berkhidmat di Pusat Pengajian Pondok Moden , Telong , Bachok, Kelantan . 

Di sini saya kongsi beberapa kelebihan sedekah ....

Fadhilat Sedekah

Dari Abu Hurairah RA, Bahwa sesungguhnya Rasulullah SAW, telah bersabda : “Apabila mati anak adam maka terputuslah amalannya kecuali tiga, sedeqah jariah, ilmu yang dimanafaatkan dan anak yang soleh yang mendoakannya untuknya.” (H/R. Bukhari).
“ Sesiapa yang sanggup diantara kamu menjaga dirinya daripada api neraka hendaklah ia bersedeqah walau hanya dengan sebiji kurma, dan sesiapa yang tidak mempunyai apa-apa hendaklah ia mengucapkan perkataan yang baik.” (H/R. Ahmad dan Muslim)
Allah Ta’ala berfirman, “ Perumpamaan orang-orang yang menafakahkan harta mereka pada jalan Allah adalah seumpama sebutir biji yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada tiap-tiap tangkai seratus biji. Allah melipat gandakan bagi siapa yang disukainya dan Allah maha luas kurnianya dan lagi maha mengetahui. ” .
{Al Baqarah (2) : 261} Sedeqah mempunyai kelebihan yang amat banyak, diantaranya adalah seperti berikut: ” Menggandakan kebaikan, ganjaran yang besar, menolak bala, meredakan kemurkaan Allah, menyelamatkan diri dari api neraka, memanjangkan umur, melembutkan hati, melenyepkan perasaan takabur & angkuh, dan akhirnya menerima ganjaran amalan yang berkekalan dan berterusan ”

 

Kebaikan dan kelebihan Sedekah

Sebahagian ulama berkata : Sedekah itu 10 Kebaikan dan kelebihan - lima di dunia dan lima di akhirat.
Lima di dunia:
1. Mencucikan hartanya
2. Mencucikan badannya
3. Menolak daripada penyakit
4. Menggembirakan orang miskin dan menggembirakan orang mukmin adalah semulia-mulia amal
5. Berkat hartanya dan diluaskan Allah rezekeinya
Lima di akhirat:
1. Dinaungkan Allah orang yang bersedekah di hari qiamat ketika sangat panas
2. Ringan hisabnya
3. Berat timbangan (amalan) di akhirat
4. Mudah melalui titian siratulmustaqim
5. Bertambah darjatnya di dalam syurga
Sumber : Blog Restu

Pahala Dan Ganjaran Sedekah

Rasullullah s.a.w. telah bersabda
“Sedekah seseorang kamu yang ikhlas itu akan menutup 70 pintu kejahatan. Sedekah seseorang kamu itu akan dibalas oleh Allah s.w.t. dengan 4 jenis pembalasan iaitu :
1. Satu sedekah yang dibalas dengan 10 kali ganda adalah sedekah yang diberikan kepada fakir miskin.
2. Satu sedekah yang dibalas dengan 70 kali ganda adalah sedekah yang diberikan kepada kaum keluarga dan sanak saudara.
3. Satu sedekah yang dibalas dengan 700 kali ganda adalah sedekah yang diberikan kepada sahabat handai dan teman-teman.
4. Satu sedekah yang dibalas dengan 1000 kali ganda adalah sedekah yang diberikan kepada para penuntut ilmu atau orang yang berjihad pada jalan Allah
  

Hadis-hadis Rasulullah Tentang Kelebihan Bersedekah

(Susunan: Ibnu Umar Asseluluni)  
 [Mafhumnya] Orang yang mengusahakan bantuan (pertolongan) bagi janda dan orang miskin ibarat berjihad dijalan Allah dan ibarat orang solat malam. Ia tidak merasa lelah dan ia juga ibarat orang berpuasa yang tidak pernah berbuka.

(Hadis Riwayat: Imam Bukhari)
[Mafhumnya] Barangsiapa ingin doanya terkabul dan dibebaskan dari kesulitannya hendaklah dia mengatasi (menyelesaikan) kesulitan orang lain.

(Hadis Riwayat: Imam Ahmad)  
 [Mafhumnya] Bentengilah hartamu dengan zakat, ubati orang-orang sakit (dari kalanganmu) dengan Bersedekah dan persiapkan doa untuk menghadapi datangnya bencana.

(Hadis Riwayat: Imam Ath-Thabrani)  
[Mafhumnya] Tiap muslim wajib Bersedekah. Para sahabat bertanya, “Bagaimana kalau dia tidak memiliki sesuatu?” Nabi s.a.w. menjawab, “Bekerja dengan keterampilan tangannya untuk kemanfaatan bagi dirinya lalu Bersedekah.” Mereka bertanya lagi. Bagaimana kalau dia tidak mampu?” Nabi menjawab: “Menolong orang yang memerlukankan yang sedang teraniaya” Mereka bertanya: “Bagaimana kalau dia tidak melakukannya?” Nabi menjawab: “Menyuruh berbuat ma’ruf.” Mereka bertanya: “Bagaimana kalau dia tidak melakukannya?” Nabi s.a.w. menjawab, “Mencegah diri dari berbuat kejahatan itulah sedekah.”

(Hadis Riwayat: Imam Bukhari dan Imam Muslim)
[Mafhumnya] Orang yang membatalkan pemberian (atau meminta kembali) sedekahnya adalah seperti anjing yang makan kembali muntahannya.

(Hadis Riwayat: Imam Bukhari)  
 [Mafhumnya] Barangsiapa diberi Allah harta dan tidak menunaikan zakatnya kelak pada hari kiamat dia akan dibayang-bayangi dengan seekor ular bermata satu di tengah dan punya dua lidah yang melilitnya. Ular itu mencengkam kedua rahangnya seraya berkata, “Aku hartamu, aku pusaka simpananmu.” Kemudian nabi s.a.w. membaca firman Allah surat Ali Imran ayat 180: “Dan janganlah orang-orang yang bakhil dengan harta yang Allah berikan kepada mereka dari karunia-Nya menyangka bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka. Sebenarnya kebakhilan itu buruk bagi mereka. Harta yang mereka bakhilkan itu akan dikalungkan kelak di lehernya di hari kiamat. Dan kepunyaan Allah lah segala warisan (yang ada) di langit dan di bumi.”

(Hadis Riwayat: Imam Bukhari)  
 [Mafhumnya] Abu Dzarr R.a. berkata bahawa beberapa sahabat Rasulullah s.a.w. berkata, “Ya Rasulullah, orang-orang yang banyak hartanya memperoleh lebih banyak pahala. Mereka solat sebagaimana kami solat dan berpuasa sebagaimana kami berpuasa dan mereka boleh bersedekah dengan kelebihan harta mereka.” Nabi s.a.w. lalu berkata, “Bukankah Allah telah memberimu apa yang dapat kamu sedekahkan? Tiap-tiap ucapan Tasbih adalah sedekah, Takbir sedekah, Tahmid sedekah, Tahlil sedekah, Amar Makruf sedekah, Nahi Mungkar sedekah, Berjimak dengan isteri pun sedekah.” Para sahabat lalu bertanya, “Apakah memuaskan nafsu syahwat mendapat pahala?” Nabi menjawab, “Tidakkah kamu mengerti bahawa kalau dipuaskan nafsu syahwat di tempat yang haram bukankah itu berdosa? Begitu pula kalau syahwat diletakkan di tempat halal, maka dia memperoleh pahala.

(Hadis Riwayat: Imam Muslim)  
 [Mafhumnya] Tiap-tiap amalan makruf (kebajikan) adalah sedekah. Sesungguhnya di antara amalan makruf ialah berjumpa kawan dengan wajah ceria (senyum) dan mengurangi isi baldi mu untuk diisikan ke mangkuk kawan mu.

(Hadis Riwayat: Imam Ahmad)

Sumbangan Boleh di salurkan kepda tabung pembinaan kompleks tarbiah tajul ariffin
@ Hubungi : ustd. sharifuddin noh - 019  948 9094

oleh : Nazri Noh

Sunday, March 25, 2012

ISLAM SEBAGAI AD-DIN


Islam dari sudut bahasa :berasal daripada perkataan Arab (aslama, yuslimu, islaman) yang bermaksud tunduk, patuh dan ia juga bermaksud selamat, sejahtera serta damai.
Islam dari segi istilah Islam adalah cara hidup. Cara bagaimana manusia perlu mengatur hidup mereka di atas dunia.

Islam adalah agama yang diredhai oleh Allah, Tuhan sekalian alam sebagaimana                 firman Allah yang bermaksud :Sesiapa yang mencari agama selain agama Islam maka sekali-kali tidak akan diterima (agama itu) daripadanya, dan di akhirat termasuk orang-orang yang rugi. (Al-Imran ayat 85)
Agama Islam adalah agama yang mentauhidkan Allah dan telah lama wujud bermula dengan Nabi Adam a.s. sehingga Nabi terakhir Nabi Muhammad s.a.w. Cuma yang membezakan (antara nabi-nabi) adalah dari segi syariat. Apabila manusia di bumi ini menerima Islam dalam segenap aspek kehidupan mereka, maka Allah SWT tidak rasa ragu-ragu untuk memberi keselamatan kepada mereka, kerana Dialah sahaja yang Maha memberi keselamatan dan boleh menarik semula keselamatan itu apabila manusia sudah semakin ingkar kepada arahan dan larangan-Nya.

             Islam adalah cara hidup yang bersifat sempurna kerana ia adalah agama Allah Yang Maha Sempurna. Kesempurnaan sistem hidup ini merangkumi aspek pendidikan dan pembelajaran, kekeluargaan, kemasyarakatan, politik, ekonomi, ketenteraan dan sebagainya.

Sesungguhnya cara hidup yang dianjurkan oleh Islam adalah yang terbaik dan terindah yang tiada tolok bandingnya dengan ajaran-ajaran agama lain. Semasa zaman jahiliyah dahulu, masyarakat hidup tanpa nilai-nilai murni, tiada kesejahteraan hidup, tiada jaminan untuk mengecap kebahagiaan, hidup dalam ketakutan, huru-hara, maksiat berleluasa dan sebagainya.Yang kaya berkuasa, yang miskin dijadikan hamba abdi, yang kuat menindas yang lemah, yang berkuasa membuat kejahatan dibiarkan tetapi yang miskin membuat kejahatan diseksa. Ini berlaku adalah kerana tidak ada panduan hidup yang hakiki dan setiap puak ada undang-undang tersendiri yang boleh dipinda-pinda mengikut hawa nafsu mereka.

Mana-mana budaya atau cara hidup yang tidak diakui oleh Islam maka cara hidup yang sedemikian adalah batil dan tidak boleh menjamin kesejahteraan manusia di dunia dan akhirat.Begitu juga dengan adat-adat yang diguna pakai oleh sebilangan masyarakat hari ini, jika adat-adat yang diamalkan sejak nenek moyang kita itu menyeleweng daripada landasan Islam maka adat-adat tersebut tidak boleh dipakai dan dilarang oleh Islam.

Tetapi apabila Islam itu dijadikan cara hidup, adakah kehidupan kita ini mengikut cara Islam yang sebenarnya? Cuba kita renung sejenak, adakah cara kita menguruskan diri, rumah tangga kita dan sebagainya mengikut Islam? Adakah hubungan kemasyarakatan kita hari ini berpaksikan Islam?

Ini semua perlu kita kaji balik untuk mendapat jawapan yang baik kerana jika berlaku kepincangan dalam pengurusan kita ini bermakna cara yang kita gunakan adalah salah dan lari daripada kehendak Islam.
RUKUN ISLAM

Ia mengandungi lima rukun, ia tidak boleh ditinggalkan sama sekali, apabila seorang Muslim mengaku dirinya Islam, dia mesti melakukan kelima-lima rukun tersebut tanpa boleh meninggalkan salah satu daripadanya, kerana ia boleh dianggap terkeluar daripada Islam.

1. Mengucap dua kalimat syahadah. 
2. Mendirikan solat (fardu lima waktu). 
3. Berpuasa pada bulan Ramadan.

4. Mengeluarkan zakat. 
5. Menunaikan haji ke Baitullah bagi mereka yang mampu melakukannya.


PRINSIP DASAR ISLAM

Prinsip dasar Islam yang kekal Islam tidak pernah membiarkan umatnya hidup meraba-raba tanpa hala tuju yang tidak jelas, justeru, Islam meletakkan beberapa dasar sebagai prinsip yang mesti dipegangi dan menjadi pra-syarat menjadi seorang Muslim yang benar-benar diterima di sisi Allah SWT.
1. Akidah
Ia menjadi pra syarat pertama apabila seorang itu mengaku sebagai seorang yang berpegang kepada agama Islam, ia menghubungkan antara seorang hamba dengan Maha Pencipta, tanpanya ia boleh mengakibatkan seseorang itu akan jadi murtad atau berlaku syirik kepada-Nya.
2. Syariat
Iaitu pelaksanaan hukum Islam sebagai bukti kekuatan akidah yang ada dalam diri Muslim, ia juga dijelmakan dalam bentuk ibadat khusus seperti solat dan sebagainya, juga termasuk ibadat umum.
3. Akhlak
Ia merupakan penjelmaan budi luhur, sopan santun yang positif yang diajarkan oleh baginda Rasulullah s.a.w.
4. Aspek dorongan kekuatan seperti jihad, amar makruf dan nahi mungkar.


CIRI-CIRI KEISTIMEWAAN ISLAM
Islam merupakan agama paling istimewa dan praktikal dengan kehidupan manusia dan menepati kehendak naluri sifat semula jadi manusia. Keindahan dan keistimewaan Islam dapat dilihat pada beberapa aspek yang menjadikan Islam itu sebagai sebuah agama yang menjadi dasar kehidupan umat manusia.
  • Rabbaniyah (Ketuhanan).
Rabbaniyah bermakna Islam yang merangkumi hukum hakam, konsep, prinsip dan nilai-nilai peraturan hidup manusia adalah   mutlak milik Allah SWT.
Islam agama Allah SWT dan agama-agama yang lain tidak diterima oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Sesungguhnya agama yang diredai Allah SWT adalah agama Islam. (Surah A li-Imran ayat 19).Firman-Nya lagi yang bermaksud: Sesiapa yang mencari agama selain daripada agama Islam maka dia termasuk dalam golongan mereka yang rugi di akhirat nanti.(Surah al-Imran ayat 85 ).
Islam dicipta oleh Allah SWT manakala agama-agama lain adalah hasil ciptaan idea dan falsafah serta pandangan manusia. Sesiapa yang menganut agama lain adalah sesat.
  • Syumuliyah (Lengkap).
Syumuliyah bermakna bahawa Islam itu lengkap dan sempurna malah tiada cacat celanya yang merangkumi segala aspek kehidupan manusia. Segala apa yang diterangkan oleh Islam adalah benar dan nyata belaka.
Segala apa yang dihadapi oleh manusia semuanya terdapat penyelesaian dalam al-Quran sedikit pun tidak ditinggalkan. Allah SWT mengetahui kehendak dan kekurangan manusia maka dengan sebab itulah manusia diberi peraturan hidup yang mampu memenuhi keperluan manusia.
  • Waqi'iyah (Berada dalam kenyataan).
Al-Waqi'iyah bermaksud ajaran Islam adalah bersifat praktikal dan sesuai diamalkan dalam kehidupan manusia.
Apa-apa persoalan yang ditimbulkan oleh manusia yang bersangkut paut dengan kehidupan mereka dapat diselesaikan oleh Islam melalui ajaran-ajarannya yang benar lagi tepat sekali. Misalnya bagi menyelamatkan nasab dan keturunan manusia Islam menyarankan berumah tangga dan mengharamkan zina serta meletakkan hukum rejam atau sebat bagi penzina dengan tujuan menjaga kehormatan manusia.
Ajaran Islam tidak ada kesangsian dan syak wasangka pada kebenaran dan pelaksanaanya. Segala peraturan yang di buat oleh Islam sama ada ibadat, sosial, pentadbiran dan seumpamaya adalah begitu indah dan menepati kehendak manusia.
  • Alamiyyah (Kesejagatan).
Alamiyyah bermaksud ajaran Islam adalah sesuai untuk semua manusia tanpa mengira bangsa, keturunan, warna kulit, tempat dan zaman. Alamiyyah Islam membawa keadilan sejagat kepada seluruh alam terutamanya manusia.

Keadilan Islam bukan hanya terbatas kepada individu, puak, keturunan, warna kulit dan sempadan malah keadilan Islam adalah alamiyyah iaitu menyeluruh. Ini terbukti apabila Rasulullah s.a.w. telah menolak diringankan hukuman potong tangan ke atas Fatimah binti al-Aswah seorang wanita golongan bangsawan Bani Makhzum yang telah mencuri.

Demikian juga diriwayatkan bahawa Baginda s.a.w. sendiri akan memotong tangan anaknya Fatimah sekiranya dia mencuri. Sudah jelas dan amat nyata sekali kepada kita bahawa Islam itu adalah agama yang indah dan memenuhi kehendak manusia.Islam menjamin kehidupan yang hakiki dan memberi kesejahteraan abadi kepada manusia di akhirat.

CIRI-CIRI KEUNGGULAN ISLAM

1. Persamaan (kesamarataan):
Sesungguhnya Allah SWT akan memberi pahala yang sama kepada kaum lelaki dan wanita apabila melakukan amal ibadat tanpa dibezakan mengikut gender (jantina), begitu juga saf hadapan di masjid bukan dikhususkan kepada golongan hartawan atau pemimpin tertentu, malah disediakan kepada siapa yang datang lebih awal di kalangan orang Islam dan sebagainya.
2. Keadilan:
Islam berlaku adil kepada sesiapa di kalangan manusia walaupun seorang itu tidak Islam, jika dia diperlakukan tanpa alasan yang munasabah, dia perlu dibela sama seperti orang Islam dalam erti kata lain bahawa Islam melindungi hak-hak manusia.
3. Kebebasan:
Islam memberikan kebebasan untuk bersuara atau memberi pendapat, kebebasan berfikir, berpolitik, beragama, berusaha dan lain-lain, tetapi bagi orang Islam tidak bermakna mereka bebas memilih cara hidup atau fahaman lain yang tidak selari dengan Islam ataupun mereka tidak boleh diberi peringatan untuk mendirikan solat atas alasan mereka bebas untuk tidak bersolat.

4. Tidak boleh membahayakan diri dan orang lain:
Ia merupakan ciri utama yang pernah ditegaskan oleh baginda Rasulullah s.a.w., dalam erti kata bahawa seorang Muslim itu tidak boleh melakukan tindakan yang boleh membahayakan dirinya sendiri atau boleh membahayakan orang lain seperti terlibat dalam aksi bahaya mat rempit atau lumba haram.
5. Islam menjamin hak asasi manusia:
Ia merupakan satu jaminan yang diabaikan oleh isme falsafah ciptaan manusia.

6. Menjaga enam perkara iaitu agama, harta, akal, jiwa, kehormatan dan keturunan.


Thursday, March 22, 2012

TARBIAH RUHIYAH DAN KESANNYA DALAM PROSES PEMBINAAN DAN PERUBAHAN UMMAH


بسم الله الرحمن الرحبم

1.0       Mukadimah

Harakah Islamiah dewasa ini amat berhajat kepada pendokong-pendokongnya yang mempunyai pandangan yang jelas mengenai kepentingan persediaan ruhiyah di dalam perjalanan dan perjuangan untuk mengabdikan semula Islam di tempatnya.
            Berjalan di atas perjalanan kerohanian atau ruhiyah adalah suatu keperluan yang tidak dapat tidak, pendokong gerakan Islam mesti berada di atasnya. Permasalahan tanzim dan takhtit semata-mata tidak menjamin keselamatan dan kesejahteraan para pendokongnya di dalam menghadapi situasi dan cabaran semasa.
            Di dalam kertas kerja ini, kita cuba untuk mengenengahkan permasaalahan kerohanian yang bersumberkan Al Quran dan As Sunnah dan pendapat ahli haq yang bertepatan dengan keimanan kita.
            'Perjalanan kepada Allah' sama sekali tidak dapat disangkal dan dilupakan oleh pendokong-pendokong gerakan Islam. Bahkan ia adala suatu tuntutan dan kehendak yang wajib dijelmakan ke dalam setiap peribadi anggota gerakan agar kemenangan Islam di era lalu dapat dikembalikan, justeru kita meyakini hanya golongan yang mempunyai jiwa kerohanian sahajalah yang mampu membawa pelita hidayah dan menerangi kegelapan jahiliyyah yang sedang meruntun setiap ruang kehidupan ummah dewasa ini.

2.0       Definisi Tarbiah Ruhiyah / Kerohanian

Tarbiah ruhiyah secara umumnya di takrifkan ialah suatu proses tarbiah
membentuk roh dan jiwa, melalui beberapa marhalah tertentu dan di dasarkan kepada pembentukan hati yang sentiasa digilapkan dengan aqidah, roh yang sentiasa dididik dengan ibadah dan mempertingkatkan jiwa kepada setinggi-tinggi pencapaian kesempurnaan.

3.0       Tarbiah Ruhiyah Bekalan Di atas Jalan Dakwah

3.1       Jalan dakwah adalah segalanya di dalam kehidupan pendakwah. Betapa jalan dakwah di penuhi onak dan duri, jalan berliku, bahkan terlalu jauh matlamat dan tujuan yang hendak ditujui. Di atas jalan ini pendakwah berhadapan dengan ketakuatan dan ugutan, ancaman pembunuhan dan ujian.

Firman Allah SWT. :
الذين قال لهم الناس ان الناس قد جمعوا لكم فخشواهم فزادهم ايمانا وقالوا حسبناالله و نعم الوكبل
آل عمران : 173
Maksudnya : “(iaitu orang yang mentaati Allah dan Rasul) yang kepada mereka ada orang-orang mengatakan :"sesungguhnya manusia telah mengumpulkan pasukan untuk menyerang kamu, kerana itu takutlah kepada mereka " Maka perkataan itu menambahkan keimanan mereka dan mereka menjawab :" cukukplah Allah menjadi penolong kami dan Allah sebaik-baik pelindung."

3.2       Sesungguhnya hanya persediaan ruhiyah sahajalah yang dapat menyelamatkan pendakwah dan melepaskannya daripada semua ujian itu. Betapa pendakwah amat berhajat kepada bekalan ini agar pendakwah tetap tidak tergugat di atas jalannya, tidak teragak-agak dan cemas untuk meneruskan perjalanannya.

4.0       Objektif Tarbiah Ruhiyah

4.1       Objektif tarbiah ruhiyah ialah untuk mencapai hati yang sejahtera, bercahaya dan nur iman yang sentiasa bertambah. Semua keadaan hati yang menjadi matlamat perjalanan ini adalah hasil daripada amal ibadah, sehingga dengan itu hati memuncak mencapai maqam ihsan.
Sabda Rasulullah SAW :

أعبد ربك كأنك تراه فان لم تكن تراه فانه يراك - رواه أبو نعيم

Maksudnya : “sembahlah tuhanmu seolah-olah kamu melihatnya, sekalipun kamu tidak dapat melihatnya, sesungguhnya dia melihat kamu.”

4.2       Mengikut kadar kenaikan dan kesuburan iman dan pencapaian terhadap maqam ihsan, terbentuklah peningkatan istiqamah, akhlak dan pengamalan seorang muslim.

5.0         Perjalanan Menuju Allah.

Perjalanan Tarbiah Ruhiyah adalah perjalanan menuju Allah. Pejalanan menuju
Allah bererti berpindah daripada jiwa yang kotor kepada jiwa yang bersih, pemikiran yang tidak syar'ie kepada pemikiran yang diredhoi syariat, daripada hati yang engkar, fasiq dan sakit atau hati yang kerasmembatu kepada hati yang tenang dan sejahtera, daripada roh yang tidak mengenal ketundukan kepada tuhan kepada roh yang mengenal tuhannya dan menunaikan semua hak pengabdian kepada tuhannya, daripada jasad yang tidak patuh kepada peraturan syariat kepada jasad yang tunduk dan patuh kepada Allah dan daripada diri yang tidak sempurna kepada diri yang lebih atau paling sempurna. Semua yang tersebut ini adalah ibarat pada pentakrifan erti perjalanan menuju Allah yang terkandung di dalamnya ertikata yang lebih khusus, ianya adalah matlamat pencapaian kita dai dalam perletakan 'Tarbiah Ruhiyah' di dalam perjalanan jemaah.

6.0       Taqwa Sebagai Jalan

Taqwa adalah jalan untuk mencapai matlamat kerohanian di dalam Tarbiah
Ruhiyah. Dan jalan untuk mencapai kepada maqam taqwa ialah dengan melalui proses-proses :

a)           Mua'hadah
Mua'hadah ialah bersendirian diri seorang muslim dengan tuhannya, membuat dan memberi janji bahawa ia tidak akan memberi hak pengabdiaan melainkan hanya pada tuhannya, tidak memohon pertolongan melainkan hanya pada Allah dan tidak akan memenuhi kehidupannya melainkan hanya dengan manhaj Tuhannya yang lurus. Inilah makna daripada ucapan seorang muslim di dalam setiap rakaat solatnya :

اياك نعبد و اياك نستعين


b)           Muhasabah
Muhasabah ialah dengan perkiraan dan hisab seorang muslim terhadap dirinya setiap kali berlalu dan berakhirnya amalannya, adakah amalannya ikhlas dan hanya menuntut keredhoan Allah, adakah perasaan riya' telah memasuki amalan ketaatannya, adakah ia telah menunaikan hak yang telah wajib ke atasnya terhadap tuhannya dan hak yang wajib terhadap sesama manusia. Seandainya pada pengamalannya seluruhnya adalah kebaikan maka kepada Allah ia meletakkan kepujian, dan seandainya berlaku sebaliknya, ia hendaklah bersegera beristigfar dan memohon ampun kepada Allah. Inilah makna yang terkandung di sebalik ucapan Saidina Umar RA :
حاسبوا أنفسكم قبل أن تحاسبوا وزنوا قبل أن توزنوا ....
c)           Mujahadah
Ia adalah usaha dan kesungguhan seorang muslim melawan hawa nafsunya ke arah memperelokkan ketaatan yang mendekatkan dirinya kepada Allah, berusaha menambah dan melipatgandakan ketaatan yang telah dan sentiasa dikerjakannya, sehingga ketaatan itu menjadi keutamaan di dalam hidupnya. Inilah makna yang terkandung di dalam firman Allah :

والذين جاهدوا فينا لنهدينهم سبلنا

d)      Muradabah
            Malu dengan sikap sendiri

e)       Muaqabah
Memukul diri sendiri

7.0       Kedudukan Mujahadah Di Dalam Tarbiah Ruhiyah

7.1       Tarbiah Ruhiyah, seperti yang telah dijelaskan ,adalah perjalanan untuk sampai kepada Allah. Hasil yang dicitakan ini hanya akan dapat dicapai dan diperolehi melalui mujahadah.

Firman Allah Taala :
والذين جاهدوا فينا لنهدينهم سبلنا - العنكبوت : 69
Maksudnya : “dan orang-orang  yang berjihad untuk mencari keredhaan kami, benar-benar kami akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan kami.”

7.2       Jelaslah mujahadah adalah merupakan usaha seorang muslim untuk mencapai matlamat di dalam perjalanan kerohaniannya. Dan hidayah itu adalah limpah kurnia dan pemberian Allah kepada kepada hamba-hambanya. Sesungguhnya, mujahadah dan hidayah itu tidak akan sempurna melainkan dengan taufik dan pertolongan Allah jua.
Firman Allah :

اياك نعبد و اياك نستعين

Maksudnya : “Akan dikau kami sembah dan akan dikau kami mohon pertolongan.”

Firman Allah :

والذين اهتدوا زادهم هدى وءاتاهم تقوهم - محمد : 17


Maksudnya : “Dan orang-orang yang mendapat petunjuk Allah, Allah menambah petunjuk mereka dan memberi mereka balasan ketaqwaan.”

Kesimpulannya , mujahadah adalah wasilah untuk sampai kepada hidayah, sementara hidayah dapat menyampaikan seorang muslim kepada ketaqwaan.

7.3       Kedudukan mujahadah di dalam tarbiah ruhiyah hendaklah didasarkan kepada empat persoalan pokok demi mujahadah yang di dalam tarbiah ruhiyah tidak terkeluar dan tergelincir daripada jalannya yang sebenar. Mujahadah yang benar adalah didasarkan kepada :

a)            Keimanan kepada Allah dan mentauhidkannya serta mengimani kerasulan  Nabi Muhammad SAW.
b)            Mendirikan semua kefarduan ibadah di dalam waktunya.
c)            Mengisi diri deangan keperluan ibadah-ibadah sunat
d)            Rukun mujahadah:
i.              u'zlah
ii.            Mendiamkan diri dari sesuatu yang tidak manfaat
iii.           Berjaga malam dan menghidupkannya
iv.           Beristighfar

8.0       Pemusatan Terhadap Pengislahan Hati

8.1       Marhalah pertama di dalam perjalanan kerohanian ialah marhalah perpindahan hati dari hati yang sakit kepada hati yang sihat sejahtera. Dan marhalah kedua ialah marhalah pengisian hati dengan bekalan hariannya atau bekalan yang di perlukan oleh hati pada setiap detik dan waktu agar hati tetap kekal terjaga di dalam keadaan keimanan yang tinggi, sehinggalah ia bertemu tuhannya.
Firman Allah :

واعبدوا ربك حتى يأتينك اليقين - الحجر : 99

Maksudnya : “dan sembahlah tuhanmu sampai datang kepadamu yang diyakini (ajal).”

8.2       Di dalam tarbiah ruhiyah, pemusatan kepada pengislahan hati adalah titik tolak yang benar dan tepat, justeru dengan itu tercapainya hati kepada kesejahteraannya. Sehingga seorang muslim dengan hatinya yang sejahtera dapat menyelamatkannya daripada tipu daya syaitan, bisikan dan fitnahnya, samaada syaitan manusia atau syaitan jin.
Firman Allah:
وكذلك جعلنا لكل نبى عدوا شيطين الانس و الجن يوحى بعضهم الى بعض زخرف القول غرورا.
الانعام : 112

Maksudnya :” Dan demikianlah kami jadikan bagi tiap-tiap nabi itu musuh, iaitu syaitan, jin dan manusia, sebahagian mereka membisikkan kepada sebahagian yang lain perkataan-perkataan yang indah untuk menipu manusia.”

8.3       seorang muslim di dalam gerakan adalah amat patut memberi perhatian yang serius terhadap pengislahan hati dan bekalannya agar dengan itu menjadikan hatinya bercahaya, bersinar dan sejahtera dan melayakkannya memikul tugas pembawa risalah dan perubah masyarakat.

9.0       Keperluan Wirid Harian Dan Daurah Ruhiyah

9.1     Wirid Harian
9.1.1.   Seorang muslim adalah amat perlu menyuburkan rohnya di dalam waktu seharian hidupnya. Wirid harian itu merangkumi penjagaan terhadap kewajipan solat dai dalam waktunya dan sentiasa berkekalan mengerjakan solat sunat mengikut kadar kemampuan seseorang, mengikut keperluan di dalam pengislahan hatinya.
9.1.2.   Secara umumnya, wirid harian yang di tuntut menjadi perlaksanakan di dalam tarbiah ruhiyah ialah :
a)            Solat berjemaah serta solat sunat rawatibnya dengan menjaga    
           pengamalan zikirnya, qiamullail dan solat sunat dhuha.
b)            Istiqhfar harian tidak kurang 100 kali
c)            Hanqalah tidak kurang 100 kali
d)            Selawat tidak kurang 100 kali
e)            Surah Al- Ikhlas 3 kali
f)             Sejuzuk daripada Al Quran setiap hari
g)            Menjaga zikir dan doa makan ,tidur , masuk dan keluar rumah
h)           Memperbanyakkan zikir-zikir yang secara mutlak seperti tahlil,tahmid, tasbih dan    
           sebagainya.

9.2         Daurah Ruhiyah

9.2.1     Di dalam menjayakan tarbiah ruhiyah, seorang muslim hendaklah mempunyai 'daurah ruhiyah' di dalm kehidupannya. Pusingan dan daurah ruhiyah ini adalah juga mengikut kadar kemahuan seorang muslim. Ia boleh dilakukan di dalam tempoh 40 hari, 3 hari, 7 hari dan sebagainya.
9.2.2     Di dalam tempoh daurah, adalah suatu yang amat baik kalau dapat dihimpunkan di dalamnya puasa dan qiamullail, solat berjamaah, membaca al-Quran dan berzikir. Ia amat bermakna serta memberi kesan yang bermanfaat di dalam perkembangn dan peningkatan ruhiyah seorang muslim sehingga ia dapat dirasai oleh seorang muslim yang ikhlas di dalam perlaksanaannya.
9.2.3     Daurah Ruhiyah yang menjadi perjalanan di dalam tarbiah ruhiyah adalah bersumberkan perjalanan Rasulullah SAW , sebagai contohnya ialah iktikafnya Rasulullah di dalam sepuluh terakhir di dalam bulan Ramadhan.
Sabda Rasulullah SAW mengenai solat dalam konteks daurah ruhiyah :

من صلى فى مسجد جماعة أربعين ليلة لا تفوته الركعة الأولى من صلاة العشاء كتب الله بها عتقا من النار

رواه ابن ماجه و الترمذى
Maksudnya : “sesiapa yang sembahyang di masjid secara berjemaah 40 malam, tidak tertinggal rakaat pertama daripada sembahyang isyak, Allah menetapkan dengan demikian itu kelepasan daripada api neraka.”

9.2.4     Tidak syak lagi, seorang musllim yang memiliki daurah ruhiyah ini atau dalam ertikata lain seorang muslim yang memiliki ketetapan atau qarar terhadap dirinya di dalam pemakaian ibadah seperti ini akan bertambah nur iman dan tauhidnya, jernih fikrahnya dan akan membawa kepada kesucian rohnya. Seterusnya sentiasa berulangnya daurah ini di dalam kehidupannya, mengekalkan nur iman di dalam hatinya dan menjadikan imannya di dalam keadaan sentiasa di perbaharui.


10.0 Ke arah Menyuburkan Ruhiyah

10.1      Di dalam tarbiah ruhiyah, secara kesimpulanya, solat (fardhu dan sunat)    wirid serta zikir dan sentiasa mengekalkan pembacaan Al-Quran adalah merupakan tiga pengisian utamanya

10.2      Sebahagian besar waktu yang dipenuhi dengan pengisian ini amat bermakna di dalam pengislahan hati dan jiwa. Ketiga-tiga pengisian utama ini, meskipun sedikit, namun amat meninggalkan kesan di dalam pengislahan hati dan jiwa seorang muslim

10.3      Namun, di sana terdapat beberapa pengisian yang dapat membantu ke arah menyuburkan ruhiyah seorang muslim. Di antaranya ialah :

a)            Sentiasa bermuraqabah dengan Allah
b)            Mengingati mati dan ahwalnya
c)            Mengingati akhirat dan huru-haranya
d)            Menghayati sirah perjalanan Rasulullah SAW
e)            Bersahabat dengan golongan pemilik hati yang suci dan mengenal Allah
f)             Menangis kerana Allah di waktu bersunyian diri

11.0  Proses Perubahan Dan Keperluan Kepada Golongan Ruhiyah

11.1      Permasaalahan ummah dan kerja-kerja menyelamatkan kemanusiaan seluruhnya adalah kerja dan tugas berat yang tidak mungkin dapat di tanggung melainkan oleh golongan yang mempunyai hati dan jiwa yang bersih, suci dan benar kerana proses perubahan yang di taja oleh Islam adalah proses perubahan yang didasarkan kepada kesucian dan kemurnian jiwa berpandukan aqidahnya yang suci dan benar.

11.2      Kemantapan fikrah dan keutamaan di sudut haraki sahaja, tidak mampu menyelesaikan permasalahan yang membelit ummah, kerana kerja-kerja yang jaminannya keberkesanan dan kejayaan adalah bermula daripada permasalahan jiwa dan hati yang diredhai oleh Allah.

11.3      Namun begitu, keperluan melahirkan generasi pembawa risalah yang mempunyai keutamaan dan persediaan yang sempurna di sudut fikrah, jiwa (ruhiyah) dan persediaannya di sudut haraki adalah tuntutan yang sama penting demi keberkesanan dakwah dan kerja menyelamatkan ummah berjaya dipenuhi dan mencapai matlamatnya.

12.0  Kesan Ruhiyah Di Dalam Proses Pembinaan Dan Perubahan
           
12.1      Seorang muslim yang berjalan di atas jalan dakwah dan bekerja di dalam proses pembinaan danperubahan ummahnya, selayaknya adalah seorang muslim yang sentiasa terpancar jiwanya dengan pancaran ruhiyah, sentiasa bertiup keimanan di dalam hatinya, sentiasa membekalkan dairi dengan taqwa, insan yag soleh, muslim yang warak, mukmin yang bertaqwa dan rijal dakwah yang ikhlas.

12.2      Seorang pendakwah yang mengandungi ciri-ciri dan sifat-sifat ini, ucapannya menyentuh hati, tingkah lakunya menjadi qudwah, air mukanya memaut dan menenangkan hati, teori dan fikrahnya mengandungi pancaran nur Ilahi.

12.3      Seorang pendakwah apabila hilang pada dirinya ciri-ciri ruhiyah yang sempurna, cacatlah keperibadiannya, tidak mampu meninggalkan kesan di hati mad'u dari ucapan dan tulisannya, atau dalam ertikata yang lain akan berlakulah kesamaan antara murabbi dan anak didiknya atau pendakwah dan mad'unya. Pada ketika itu jadilah jiwanya kosong dan musnah, jiwa yang tidak mampu mengilham dan menggerak. Dan pendakwah pada ketika itu, tidak layak lagi menjadi jurubicara ummah, pemimpin dan pendakwah, penyelamat, perubah dan pendidik ummah, bahkan dirinyalah yang lebih layak untuk dididik dan ditarbiah.

13.0  Golongan Ruhiyah Masa Lalu

            Golongan ruhiyah dan angkatan kerohanian masa lalu adalah sebaik-baik contoh kepada perjalanan atau 'proses taghyir' yang sedang kita lagangi dewasa ini. Sesungguhnya merekalah yang telah menyebar dan mengembangkan Islam di benua Afrika, Asia Tenggara, Asia Tengah dan di serata alam ini. Kita lihat bahawa merekalah yang telah meninggikan panji-panji jihad di negara-negara mereka, gerakan As Sawasi di Libya, gerakan Al Mahdi di Sudan, bahkan merekalah yang telah berjasa terhadap pembebasan bumi Islam di Al Jazair, Tunisia, Al Maghribi dan di mana sahaja.


14.0    Peningkatan Ruhiyah Dan Berintima' Dengan Gerakan

14.1      Memberi keutamaan dan mengambil berat di dalam pengislahan hati serta peningkatan di sudut kerohanian atau ruhiyah, tetapi memandang ringan terhadap pemakaian hak terhadap membantu dan menolong agama Allah, menguat dan menggerakkan perjuangan mandaulatkan syariat bererti tidak memenuhi syarat-syarat pengislahan jiwa dan tidak menepati kehendak, tuntutan dan pengarahan syariat. Memperjuangkan agama Allah, memperkuat dan menghidupkan sunnah rasulullah SAW, menggerakkan perjuangan pendaulatan syariat atau dalam ertikata lain berintima' dengan gerakan Islam adalah kewajipan setiap mukmin yang benar dengan agamanya.
Firman Allah :
انا ارسلناك شاهدا ومبشرا و نذ يرا لتؤمنوا بالله ورسوله و تعزروه وتوقروه - الفتح 9-8

Maksudnya : Sesungguhnya kami mengutuskan kamu sebagi saksi pembawa berita gembira dan pemberi peringatan, supaya kamu sekalian beriman kepada Allah dan RasulNya, menguatkan AgamaNya dan membesarkanNya.

Bagaimana mungkin boleh berlaku dan menjadi sempurna pengislahan hati, tetapi memandang ringan terhadap permasalahan menegakkan syariat Allah dan pendaulatan hukum hakamnya.

14.2      Berintima' dengan gerakan Islam adalah jalan yang sohih dan benar di dalam ertikata perjuangan pendaulatan syariat Allah dan hukum hakamnya. Justeru itu tidak mempunyai sebarang erti pengislahan hati dan peningkatan ruhiyah seandainya tidak sempurna intima' dan wala' kepada gerakan dan jemaah Islam, kerana sabda Rasulullah SAW :
ان تلزم جماعة المسلمين و امامهم - رواه البخارى

15.0    Penutup

            Di dalam pembentukkan peribadi muslim yang sebenar, kita meletakkan tarbiah ruhiyah adalah asas kepada dakwah kita. Hakikat tarbiah ruhiyah ialah proses atau marhalah pendidikan diri, membersihkan jiwa dan menggilapnya sehingga mencapai kedudukan yang paling tinggi di dalam skop kesempurnaan jiwa kemanusiaan. Ia adalah merupakan uslub dari beberapa uslub dakwah yang diiktibar dan mesti dilalui di dalam perjalanan madrasah dakwah kita.
            Mudah-mudahan akan lahir daripada madrasah dakwah ini, generasi pembela yang tidak sekadar mempunyai peningkatan dan kemampuan di dalam sudut pembacaan politik dan siasah, teori dan fikrah, kemantapan amal dan tindakan, bahkan mempunyai peningkatan dan perkembangan di sudut ruhiyah dan kerohanian kerana gerakan Islam dewasa ini, di dalam perjalanan dan perjuangan untuk mencapai matlamatnya amat perlu kepada tenteranya yang hidup di dalam ungkapan ringkas yang cukup memberi erti dan bermakna,
فرسان بالليل ورهبان بالنهار  demi terjaminnya sejarah di era lalu berulang sebagai kenyataannya di era ini. InshaAllah.



Rujukan :
1.القران دان ترجماهن
2.السنة النبويه
3.تربيتنا الروحية
4.روحانية الداعية  - الدكتور عبدالله ناصح علوان
5.الشباب والتغيير   -  الأستاذ فتحى يكن
6.الشباب المسلم فى موجهةالتحيات  -  الدكتور عبد الله ناصح علوان